Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Terus kembangkan kerjasama dalam banyak bidang
29/04/2024

hm_2904241.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Srettha Thavisin bagi menghadiri Majlis Mesyuarat Dua Hala bertempat di Pakdi Bokdi Building.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada ahli-ahli keluarga Thai yang kehilangan orang tersayang dalam konflik yang berterusan di Gaza.

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam kekal prihatin terhadap peningkatan keganasan dan mengulangi komitmen negara kepada rancangan damai dalam jangka masa panjang melalui penyelesaian dua negara dan mencapai sebuah negara merdeka bagi rakyat Palestin.

Baginda seterusnya berharap masyarakat antarabangsa boleh bersatu dan menamatkan konflik ini untuk kemasukan bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengimbas kembali perbincangan bermanfaat semasa Lawatan Rasmi Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam pada tahun lepas ke arah mengeratkan hubungan yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang. Ketika Negara Brunei Darussalam dan Thailand menandakan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik melalui pertukaran-pertukaran lawatan dan aktiviti bersama, baginda menekankan kedua-dua buah negara terus mengembangkan kerjasama dalam banyak bidang termasuk perdagangan, pendidikan, pertahanan dan pertukaran antara rakyat sepanjang empat dekad lalu.

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam menyatakan tanda terima kasih atas sokongan berterusan Thailand dalam membekalkan beras sejak tahun 1971, menjadikan Thailand sebagai rakan perdagangan terpenting. Oleh itu, penekanan terhadap keselamatan makanan dan rangkaian bekalan yang tidak terganggu adalah semakin penting daripada sebelumnya di tengah-tengah pergolakan geopolitik pada masa kini, di mana ia boleh memberi manfaat bersama kepada negara dan rakyat kedua-dua buah negara dalam kemajuan ke arah masa hadapan.

Justeru itu, Negara Brunei Darussalam berharap untuk bekerjasama lebih rapat lagi dengan Thailand untuk memperdalam hubungan perdagangan dalam pertanian, tenaga serta makanan halal dan seterusnya menyambut baik hasrat Thailand untuk mengembangkan lagi hubungan pelaburan.

Kebawah DYMM kemudian menekankan bahawa pertukaran antara rakyat kian berkembang dengan baik termasuk melalui pertukaran pendidikan yang berterusan dan pelabuhan tiga kapal tentera laut His Thai Majesty's Ships (Bhumipol Adulyadej, Taksin dan Kraburi) baru-baru ini; dan juga dengan penyambungan semula penerbangan terus antara kedua-dua ibu negara yang memudahkan rakyat kedua-dua buah negara untuk membuat perjalanan ke negara masing-masing.

Pada Majlis Mesyuarat Dua Hala ini, Kebawah DYMM juga bertukar-tukar pandangan bersama Perdana Menteri Thailand mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa termasuk kerjasama dalam ASEAN serta situasi di Myanmar dan perkembangan di Timur Tengah.

Pada penghujung majlis mesyuarat ini, satu Kenyataan Bersama telah dikeluarkan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​